AZMAN DAN AGENDA PEMBANGUNAN KENINGAU

Pada usia 56 tahun, Datuk Azman Haji Ruslan, seorang peguam, sedang mempersiapkan diri sebagai calon berpotensi GRS bagi kerusi Parlimen Keningau, dengan membawa gagasan politik yang berteraskan pembangunan ekonomi, penyelesaian masalah secara praktikal serta kerjasama yang lebih luas demi kepentingan Sabah.
Anak jati Keningau yang menetap di kampung Bayangan ini membawa bersama pengalaman dalam bidang perundangan, penglibatan dalam politik selama bertahun-tahun serta pemahaman terhadap realiti sosial dan ekonomi masyarakat pedalaman.
Pengalaman tersebut menjadi asas kepada gagasannya untuk membawa pendekatan pembangunan yang melangkaui retorik politik biasa. Dalam konteks ini, gagasan Azman memberi tumpuan kepada bagaimana Keningau boleh membina kekuatan ekonomi yang lebih tersusun dan berdaya tahan untuk masa hadapan.
Ditengah-tengah agenda yang dibawa Azman ialah gagasan untuk menjadikan Keningau sebagai Pusat Ekonomi Pedalaman Sabah. Menurut Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) Keningau itu, konsep ini bukan sekadar mahu melihat lebih banyak aktiviti perdagangan berkembang di bandar Keningau.
Sebaliknya, ia membayangkan Keningau sebagai pusat yang menghubungkan sektor pertanian, industri pemprosesan makanan, pelancongan, keusahawanan, pembangunan kemahiran serta pelaburan.
Antara keutamaan utama yang dikenal pasti ialah penambahbaikan sistem jalan raya dan jaringan perhubungan.
“Bagi sebuah daerah pedalaman yang mempunyai komuniti, kawasan pertanian dan aktiviti ekonomi yang tersebar luas, jaringan jalan raya yang lebih baik bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, tetapi juga dapat membantu mengurangkan kos pengangkutan hasil pertanian, membuka akses kepada pasaran dan meningkatkan daya tarikan Keningau kepada pelabur.
“Oleh itu, pembangunan infrastruktur bukan sekadar dilihat sebagai projek fizikal, tetapi sebagai asas kepada pengembangan ekonomi daerah,” katanya dalam satu temuramah khas.
Pertanian merupakan antara kekuatan utama ekonomi Keningau.
Namun menurut Azman, cabaran seterusnya ialah bagaimana Keningau boleh bergerak daripada sekadar menghasilkan komoditi pertanian kepada menghasilkan produk yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.
Ini termasuk pembangunan industri pemprosesan hasil pertanian serta pengembangan industri makanan. Gagasannya mudah tetapi mempunyai implikasi ekonomi yang besar: daripada menghantar keluar hasil pertanian dalam bentuk mentah atau diproses pada tahap minimum, lebih banyak proses seperti pemprosesan, pembungkusan, penjenamaan dan pengedaran boleh dilakukan di Keningau sendiri.
Langkah sedemikian, menurut Azman, berpotensi membuka peluang baharu kepada petani, pengusaha pemprosesan makanan, syarikat logistik, usahawan kecil serta generasi muda.
Pada masa yang sama, lebih banyak nilai ekonomi dapat dikekalkan dalam kawasan Keningau dan pedalaman Sabah. Satu lagi komponen penting dalam agenda yang dibawa Azman ialah memperkukuh sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta melahirkan lebih ramai usahawan muda.
Bagi Azman, keusahawanan bukan sekadar soal mewujudkan perniagaan secara individu. Ia merupakan sebahagian daripada usaha untuk mempelbagaikan asas ekonomi Keningau.
Peluang boleh diwujudkan dalam pelbagai bidang termasuk pemprosesan hasil pertanian, industri pelancongan, perkhidmatan teknologi, logistik dan sektor-sektor baharu yang mempunyai potensi pertumbuhan.
Penekanan terhadap golongan muda pula berkait rapat dengan cadangan untuk memperluaskan peluang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokesyenal (TVET).
Matlamatnya ialah memastikan pembangunan kemahiran hubungan yang lebih rapat dengan peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi sebenar di Keningau.
Dalam kerangka ini, TVET bukan sekadar satu bentuk pendidikan. Ia boleh menjadi sebahagian daripada strategi ekonomi – melengkapkan anak muda dan kemahiran praktikal, menghubungkan kemahiran tersebut dengan industri tempatan dan membuka laluan kepada pekerjaan, keusahawanan serta pelaburan.
Pelancongan juga merupakan antara sector yang diberi perhatian dalam agenda Azman. Keningau dan kawasan sekitarnya mempunyai landskap semula jadi warisan budaya serta tarikan berasaskan komuniti yang berpotensi menyumbang kepada ekonomi pelancongan yang lebih besar.
Bagaimanapun, pembangunan sektor ini bukan hanya soal menarik lebih ramai pelawat. Ia memerlukan jaringan pengangkutan yang baik, kemudahan penginapan, penglibatan usahawan tempatan, tenaga kerja yang mempunyai kemahiran, promosi yang berkesan serta pengurusan alam sekitar yang bertanggungjawab. Di sinilah pendirian Azman mengenai alam sekitar menjadi penting.
Beliau menjelaskan perlindungan alam sekitar tidak seharusnya dilihat sebagai penghalang kepada pembangunan. Sebaliknya, alam semulajadi merupakan asas kepada pembangunan yang mampan.
Pendekatan ini meletakkan pemeliharaan alam sekitar sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan ekonomi. “Sabah memiliki aset semula jadi yang tiada tandingan. Hutan, sungai dan biodiversiti Sabah bukan sekadar warisan alam, tetapi aset ekonomi yang bernilai tinggi,” jelasnya.
Justeru, pemuliharaan khazanah alam semula jadi mampu mengembangkan sektor pelancongan, khususnya eko-pelancongan, menjana pembiayaan konservasi dan menarik pelaburan atau kerjasama antarabangsa. “Paling penting sekali, khazanah alam semula jadi menjamin kesejahteraan generasi akan datang,” jelas Azman.
PENDEKATAN POLITIK Selain agenda pembangunan, Azman turut menekankan pendekatan beliau dalam berpolitik. Beliau mahu mengurangkan politik yang terlalu beremosi dan lebih terbuka kepada kerjasama merentasi parti apabila melibatkan kepentingan Sabah.
Pendekatan yang beliau tekankan ialah mengetahui bila perlu tegas, bila perlu berunding dan bila perlu membina kerjasama. Pendekatan sedemikian mengambil kira hakikat bahawa banyak isu pembangunan di kawasan Parlimen tidak berada di bawah bidang kuasa satu pihak atau satu peringkat kerajaan sahaja.
Jalanraya, infrastruktur, pelaburan, pendidikan, kemahiran, pelancongan dan pembangunan ekonomi melibatkan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan serta sektor swasta.
Oleh itu, penekanannya ialah mendapatkan hasil yang praktikal dan nyata, bukannya membiarkan perbezaan politik menjadi penghalang kepada pembangunan.
PERJUANGAN MA63 Mengenai hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963, Azman menyatakan komitmen meneruskan perjuangan tersebut, tetapi dengan memberi penekanan yang sama kepada usaha mendapatkan hasil yang nyata demi kesejahteraan rakyat Malaysia di Sabah.
“Dalam kerangka lebih luas, hak yang benar-benar bermakna apabila ia mampu meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Saya berpandangan bahawa perjuangan menuntut hak Sabah kini memasuki fasa baharu – daripada sekadar menuntut hak kepada memastikan hak tersebut benar-benar diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai rakyat.
“Maknanya, memanfaatkan apa yang masih ada dan kekal dibawah kuasa Kerajaan Negeri Sabah,” ujarnya.
Bagi Azman, cabaran politiknya bukan sekadar untuk mewakili Keningau, tetapi untuk mengetengahkan satu gambaran bahawa apa yang boleh dicapai oleh Keningau – sebuah kawasan pedalaman yang lebih terhubung, produktif dan mempunyai ekonomi yang pelbagai, sambil mengekalkan alam sekitarnya serta nilai masyarakat yang memberi identiti daerah tersebut.
- DAR -

"Ini ikhtiar dan luahan jujur dari hati saya. Jika sehati dan sejiwa, bantu saya kongsikan agar lebih ramai yang mendengar. Jika ada teguran atau pandangan berbeza, pintu hati saya sentiasa terbuka untuk mendengarnya."
Ada pandangan atau cadangan?
Suara anda membentuk apa yang saya perjuangkan. Hantar terus kepada saya.
Hantar Pandangan Anda →

